Penafian

SAYA TIDAK MEMBERI KEBENARAN KEPADA MANA-MANA PIHAK MENGGUNAKAN GAMBAR-GAMBAR MILIK SAYA BAGI TUJUAN PROMOSI, PERNIAGAAN ATAU APA-APA TUJUAN TANPA SEBARANG KEBENARAN BERTULIS DARI SAYA.

Tapak


Trend tempat makan sekarang, jualan dari food truck sahaja. TAPAK, (urban street dining) terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.

(Urban Street Dining)
2A, 2A, Persiaran Hampshire
Hampshire Park
50450 Kuala Lumpur
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu beroperasi : setiap hari dari 6 petang hingga 12 tengah malam

Mercu tanda terdekat adalah bersebelahan Hotel Corus dan juga berdekatan dengan KLCC. Oleh kerana TAPAK ini lokasinya di tempak letak kereta maka tidak ada masalah untuk parking terutama yang datang awal. 


Terdapat banyak trak makanan yang beroperasi di sini. Ada yang menyajikan masakan ala barat, gaya mexico, masakan melayu dan sebagainya. Begitu juga dengan pilihan air. Terdapat pelbagai pilihan yang ada.




Menu pertama yang saya pilih ialah beef buritos dari Babaritios. Sedap dan mengenyangkan walaupun perlu tunggu lama sikit. Nasib disediakan dengan bangku untuk menunggu.


Berikut pula air pilihan Ella dari Kopies. Menarik bukan? Selepas itu kami beli pula nachos, meatball yang semuanya lupa nak ambil gambar. Air lain yang kami pesan ialah Coconut Mango shake (sedap) juga kopi vietnam (tak kick!)



Bagi memilih tempat duduk saya cadangkan untuk pilih meja yang berdekatan dengan payung. Jika sekiranya hari hujan semasa anda makan setidaknya anda tidak perlu lari jauh untuk berlindung.

Bila suasana semakin gelap pengunjung juga bertambah ramai dan meriah. Sangat seronok habiskan masa hujung minggu di sini kerana terdapat banyak pilihan makanan dengan harga yang munasabah. Tapi jangan pula bersikap pentingkan diri pula kalau nampak semakin ramai pengunjung yang masih tercari-cari tempat duduk sedangkan kita sudah selesai. Segeralah bangun bagi tempat kepada pengunjung yang baru tiba.

Sebelum balik jangan lupa kemas meja anda sendiri tau. Tong sampah banyak disediakan oleh penganjur. Kemudahan tandas juga ada disediakan di sini. (tapi saya guna tandas Hotel Corus)



FizoMawar Kitchen


Akhirnya merasa juga singgah di Fizomawar Kitchen walaupun entah berapa kali dah menjejakkan kaki ke Bangi Sentral ini. Kali ini datang ke Bangi kerana dapat panggilan daripada UKM untuk mantan ni mengelentong budak-budak tahun satu yang baru masuk hahahah. Oleh kerana awal lagi dah sampai di Bangi kami bercadang untuk makan di sini terlebih dahulu.

Fizomawar Kitchen
No 9, Jalan 8/1
Seksyen 8
43650 Bandar Baru Bangi
Selangor

Waktu Beroperasi : Selasa hingga Ahad, dari 11am hingga 11pm

Restoren ini terbahagi kepada dua ruangan. satu bahagian berhawa dingin dan satu lagi ruang terbuka. Kami memilih ruang terbuka. Meja kayu dengan kerusi berwarna mint. Menarik. Bahagian berhawa dingin kelihatannya menjadi pilihan mereka yang datang berkeluarga.

ruang terbuka
ruang berhawa dingin

Dari mula sampai kami ditegur dengan ramah oleh kakitangan di sini. Seorang pelayan membawa menu dan ramah menerangkan kepada kami jenis-jenis makanan serta memaklumkan menu kegemaran pengunjung yang datang ke sini. Beliau juga turut mencadangkan air untuk pilihan kami.

Khau Mok Khai RM10.90
Nasi Rebus RM8.90
Nasi Gaul RM12.90
Air Mujito RM11.90

Ketiga-tiga kami memilih untuk memesan air yang sama yang merupakan menu baru di sini. Dua air yang dipesan segera sampai walaubagaimana pun kerana kesilapan komunikasi segelas lagi sampai lewat sedikit ketika kami sedang menikmati makanan. Air ini juga dikenali sebagai soda herb/soda mint yang pernah viral resepinya di media sosial. Saya memilih nasi rebus dan sangat suka dengan ayam bijan yang dihidangkan. Rangup, enak, cukup rasa.

Usai menjamu selera dikaunter bayaran, kakitangan yang bertugas ramah bertanyakan tentang makanan yang dipesan dan memaklumkan menu-menu yang baru dimasukkan. Tidak lupa beliau mengajak datang lagi ke restoren untuk mencuba menu yang berlainan pula. 

Pro

1) Layanan kakitangan sangat menyenangkan dan memuaskan hati
2) Minuman dan makanan yang dipesan tiba tanpa menunggu lama
3) Harga yang munasabah
4) Suasana restoren yang selesa
5) Mudah untuk mendapatkan parking

Contra 

1) Nama menu seperti tidak kena dengan makanan itu sendiri (nasi rebus kelihatan seperti nasi kukus, nasi gaul seperti nasi kerabu)



LC Kuala Lumpur


Para penggemar nasi kandar pasti teruja saat Line Clear Nasi Kandar mengumumkan pembukaan cawangannya di Kuala Lumpur. Terletak di Kampung Baru, cawangan ini dikenali sebagai LC Restoren

LC Restoren
No 113 Jalan Raja Abdullah
Kampung Baru
50300 Kuala Lumpur

Waktu Operasi : 6 pagi hingga 12 tengah malam

lokasi kemudahan parking untuk para pengunjung

Kalau di Line Clear Nasi Kandar, Penang terletak di celah lorong, LC Restoren pula merupakan premis makan yang sangat selesa. Kedatangan pelanggan akan di sapa oleh mural di dinding luar restoren mengisahkan tentang kedua-dua restoren ini.



Ruang makan terbahagi dua iaitu di dalam restoren atau pun di ruang terbuka. Kelihatan gambar-gambar ikon,artis juga menteri yang menjamu selera di sini dilekatkan pada dinding. 

senarai menu dan harga
dekorasi dinding dengan gambar mereka yang popular

Sekiranya mengunjungi restoren ini pada waktu kemuncak, makanya beratur panjanglah jawabnya. Nasihat saya datang awal atau pun datang lewat sedikit.

tu dia...line tak clear

Menu yang di hidangkan hampir menyamai atau boleh dikatakan sama sahaja dengan di Penang. Apa yang menarik hati saya ialah selesai sahaja saya memilih lauk, pekerja di sini menunjukkan pinggan saya kepada saya dan bertanya, "line clear?" Secara tersiratnya bertanya sama ada saya sudah berpuas hati dengan pilihan saya.

pelbagai pilihan lauk pauk

Saya memilih lauk ayam goreng, bendi celur, peria goreng dan sotong masak rose serta teb o ais limau yang berjumlah RM16. Lebih murah berbanding di Penang walaupun lauk yang hampir sama.

my plate!

Pro

1) Restoren luas, selesa dan bersih
2) Murah sedikit berbanding Line Clear Nasi Kandar Penang

Contra

1) Kuah kurang umph berbanding Line Clear Nasi Kandar Penang



Fiske Steakhouse


Ke mana kita jalan-jalan cari makan kali ini? Jom cari makanan ala barat pula iaitu di Fiske Steakhouse, Keramat. Dah lama tau teringin nak singgah makan di sini. Tapi melihatkan kawasan parkingnya yang sentiasa penuh, hasrat murni selalu di batalkan. Terdetik juga dalam hati, sedap sangat ke makan di sini hingga sentiasa penuh dengan pengunjung.

Fiske Steakhouse
No K4, Medan Selera AU 2C
Taman Desa Keramat 
54200 Kuala Lumpur

Tel : 017-212 1649

Waktu Operasi : Setiap hari kecuali Isnin, 9 pagi-12 tengah malam

Usai menjemput adik saya pulang dari tempat kerja kami terus menuju ke sini. Mungkin kerana datang agak awal mudah sahaj dapat parking dan pengunjung dalam restoren juga tidak ramai. Ruang restoren ini terbahagi kepada dua iaitu ruang berhawa dingin dan di luar/boleh merokok.

pilihan minuman di paparkan di belakang kaunter bayaran
deretan kek dan manisan
ruang luar/boleh merokok
ruang luar/kawasan boleh merokok
ruang berhawa dingin

Walaupun restoren ini menawarkan menu masakan ala barat tetapi restoren ini juga menyediakan menu Asam Pedas sebagai hidangan istimewa. Barat lawan timur. Jom kita tengok apa lagi yang di tawarkan oleh restoren pilihan ramai ini.











Ketika kami masuk ke ruang berhawa dingin, hanya terdapat dua meja yang masih kosong. Satu sedang dibersihkan oleh pekerja di sini. Cepat-cepat pekerja tersebut mengelap meja yang kami pilih dan memberi menu pilihan. Malah terus bertanya adakah kami ingin terus buat pesanan. Kami mengambil masa untuk meneliti menu yang ditawarkan dan bila telah bersedia kami memanggil pelayan untuk mengambil menu, pekerja lain (bukan yang membersihkan meja) datang. 

Kami sempat bertanya menu popular pilihan pengunjung di sini, dan seterusnya membuat pesanan kami. Saya memilih Chicken Rolled dan Mango Latte sementara adik memilih Roasted Chicken dan air Tembikai Laici. Pelayan tersebut segera menanda senarai pesanan dan meletakkan di meja kami.

senarai pesanan

Kelihatan pekerja di belakang kaunter bayaran menyediakan air dan tak lama kemudian air yang kami pesan pun sampai. Mango Latte agak enak walaupun kurang manis tetapi air Tembikai Laici mempunyai rasa yang seimbang di antara tembikai dan laicinya.

Tembikai Laici RM5.50 & Mango Latte RM11

Tanpa lama menunggu, pelayan lain pula menghantar makanan kami berdua. Wahhh bagus ye? Pembahagian tugas yang efisyen.

Roasted Chicken RM14
Chicken Rolled RM12

Rasa kedua-dua menu ini? Kedua-duanya boleh tahan enak, berpadanan dengan harga yang dibayar. Kuantitinya juga banyak untuk perut sayalah ye. Akan datang boleh cuba set asam pedas pula.

Pro

1) Servis dari pelayan sangat bagus. Sangat berpuas hati.
2) Minuman dan makanan cepat disediakan
3) Harga yang sangat berpatutan.

Contra

1) Susah untuk parking


Khalish BBQ Steamboat




Sudah jadi seperti trend menu seafood lambak dihidangkan di restoren-restoren. Ini termasuklah di Restoren Khalish BBQ & Steamboat, Raub, Pahang.


hubungi restoren ini

Terletak tidak jauh dari Uitm Raub, bersebelahan dengan Sekolah Raub Indah. Bangunan baru berwarna kelabu. Dari arah Kuala Lumpur ianya berada di sebelah kanan jalan.

Bukan sekadar seafood lambak, restoren ini juga menyediakan set steamboat dan bbq. Malah steamboat adalah menu utama di restoren ini. Harga yang ditawarkan juga berpatutan. RM20 untuk kanak-kanak, RM25 untuk warga emas dan RM35 untuk pengunjung dewasa.

menu 
menu

Restoren ini beroperasi dari pukul 5 petang hingga pukul 11 malam sahaja tau. Jadi lebih baik hubungi pihak restoren untuk tempahan meja, terutama ketika hujung minggu. Meja-meja untuk menikmati steamboat dan bbq terletak di bahagian dalam restoren bagi memudahkan para pelanggan mengambil sendiri bahan-bahan untuk steamboat yang disediakan. Manakala untuk mereka yang bercadang menikmati seafood lambak meja terletak di bahagian luar restoren.

bahagian dalam
luar restoren

Saya ke sini tidak mencuba steamboat tetapi memilih untuk menikmati seafood lambak. Terdapat 3 pilihan sos yang boleh kita pilih iaitu Hot & Spicy, Blackpepper dan juga Butter. Harga set seafood lambak yang ditawarkan oleh restoren ini sangat berpatutan dan mampu makan.

murah bukan?

Kami memilih untuk mencuba seafood lambak dengan sos Hot & Spicy serta air mangga dan teh o ais. Air tidak termasuk dalam pakej. Total belanja makan di sini cuma RM37 untuk dua orang.

Saat seafood ini dilambakkan di hadapan saya, saya berpuas hati dengan kuantiti yang di tawarkan. Rasa sosnya juga enak namun terlalu pedas untuk perut saya. Pijar rasa perut dan bibir. Namun saya akan datang lagi untuk mencuba sos lain dan juga steamboat.



Pro

1) Murah
2) Seafood lambak pelbagai pilihan sos
3) Penyelia akan memantau keadaan pengunjung dari masa ke semasa
4) Jika mahu walk-in, datang pada awal dan akhir waktu operasi


Contra

1) Sukar mendapatkan meja jika datang secara walk-in pada waktu kemuncak.
2) Kakitangan restoren kelam kabut saat waktu kemuncak

7 Days, 7 Favourites