Penafian

SAYA TIDAK MEMBERI KEBENARAN KEPADA MANA-MANA PIHAK MENGGUNAKAN GAMBAR-GAMBAR MILIK SAYA BAGI TUJUAN PROMOSI, PERNIAGAAN ATAU APA-APA TUJUAN TANPA SEBARANG KEBENARAN BERTULIS DARI SAYA.

Lockdown Jaman Tori

Pemandangan di belakang rumah parent kakak. Cantikkan? Tu la rasa syahdu je bila lama tak balik

Hai uols, kakak terjumpa entry oleh pakcik kakak, iaitu Ayah Chik Shah Ali (Aicik) dalam Laman Loghat Temerloh tentang kisah "lockdown" di kampung kami zaman dulu kala ketika berdepan dengan wabak penyakit berjangkit atau orang kampung panggil hawar. Penceritaan asal ni menggunakan loghat Temerloh bercampur bahasa standard. Kat bawah kakak terjemahkan okey.

Hari ni koi nok citer kesah "lockdown" di zaman arwah Tok Pawang Kadir (koi ngelor aki) .
Dalam tahun 60an (masa ter koi sklh rendoh)... Perentan berlaku wabak penyakit @ hawar (hawo), arwah aki tok pawang akan di panggil oleh org kampung yg di kepalai oleh tok4 biasanya.
Arwah aki tok pawang Kadir akan lakukan upacara menjampi dan membakar kemiyan utk melindungi kampung dari wabak tersebut. Slps upacara ini, semua penduduk kampung kena berpantang selama 3 ataupun 7 hari . Masa berpantang ni yg tak boleh di langgar. 
Antara pantang larang yg saya ingat:


1. PKP- hanya boleh keluar rumah slps waktu zohor dan mesti masuk dalam rumah sebelum maghrib (waktu senjakala).
2. Dilarang mengebas atau mengirai tikar sebelum di gulung / simpan
3. Orang dari kg lain yg dtg dgn menyeberang sungai di larang masuk. Begitu juga org kg yg terlibat, di larang berkunjung ke kg lain jika menyeberang sungai.
4. Dilarang buang sampah ikut tingkap.
5. Tak boleh berkelahi dan marah2.
6. Tak boleh bunuh binatang yg berdarah, termasuk menyembelih.
...dan ada lagi pantang larang yg koi pun dah x berapa ingat.
Masa tu letrik tak der, air paip jauh sekali.
Nok nyampaikan 3 hari, azabnya jgn citer, berjelaga hidung dek asap pelita minyok gas (mnyk tanah).
Goner gamoknyer kalau PKP ni guna cara lockdown arwah aki tok pawang ni.


Al Fatihah(bacaan) utk arwah Aki Tok Pawang Kadir.


Terjemahannya

Hari ini saya nak cerita kisah lockdown di zaman Tok Pawang Kadir (saya panggil aki@datuk) dalam tahun 60an (masa tu saya sekolah rendah). 

Ketika itu berlaku wabak penyakit berjangkit @ hawar. Arwah aki tok pawang dipanggil oleh penduduk kampung yang diketuai oleh Tok Empat kebiasaannya. 

Arwah aki tok pawang akan melakukan upacara membakar dan menjampi kemeyan bertujuan melindungi penduduk kampung daripada wabak tersebut. 

Selepas upacara ini selesai penduduk kampung dikehendaki mematuhi pantang larang tertentu selama tempoh 3 atau pun 7 hari. Pantang larang ini tidak boleh dilanggar. Antara pantang larang tersebut ialah:

1. Perintah Kawalan Pergerakan ~ hanya boleh keluar rumah selepas waktu zuhur dan mesti masuk ke dalam rumah sebelum mahgrib (senjakala) 

2. Dilarang mengibas /mengirai (tikar mengkuang yang digunakan untuk duduk) sebelum digulung/disimpan. 

3. Penduduk dari kampung lain yang datang melalui jalan sungai (berperahu) dilarang naik ke tebing kampung apatah lagi masuk ke rumah penduduk kampung. Begitu juga sebaliknya. (Laluan utama kampung kami ketika itu adalah melalui Sungai Pahang) 

4. Dilarang buang sampah ikut tingkap

5. Tidak boleh bergaduh dan marah-marah

6. Tidak boleh membunuh binatang berdarah termasuk menyembelih 

... dan ada lagi pantang larang lain yang saya pun dah tak berapa ingat. Zaman tu eletrik tiada, air paip jauh sekali

Hendak menyelesaikan pantang 3 hari, azab yang teramat sangat. Habis berjelaga dalam hidung akibat asap pelita minyak tanah. 

Bagaimana agaknya kalau PKP ni guna cara lockdown arwah aki tok pawang ni? 

Al Fatihah aki Tok Pawang Kadir

Kalau dibaca komen-komen orang lain yang melalui pengalaman yang sama ada lagi pantang larang lain iaitu:

  1. Tak boleh menebas, memetik daun, menyangkul tanah
  2. Kain baju tak boleh bermalam di ampaian
  3. Kanak-kanak disuruh berinai jari

Dan part paling menarik, menurut mak kakak, semua penduduk kampung yang terlibat sangat taat pada pesanan Pawang Kadir. Tiada yang berani ingkar. 

Actually Pawang Kadir ni sangat popular di negeri Pahang terutamanya berkaitan dengan kisah buaya di Sungai Pahang dan dikenali sebagai Pawang di Raja kerana kekerapan Sultan Pahang ketika itu, Almarhum Sultan Abu Bakar menjemput beliau untuk pelbagai aktiviti. Sebenarnya banyak cerita kehebatan Pawang Kadir yang mak kakak ceritakan. Tapi sebab entry ni tema lockdown kan. Tak payah la. 

Btw, kalau perhatikan pantang larang yang dikenakan oleh arwah Pawang Kadir ni sama aje macam yang dianjurkan oleh agama Islam dan juga oleh pihak kerajaan/kementerian kesihatan. Stay at home, keluar waktu tertentu sahaja, tidak boleh merentas daerah/negeri, serta aktiviti di rumah. Old is gold! 


No comments:

Post a Comment

7 Days, 7 Favourites